Friday, October 16, 2009 at 10:23 AM |  
Jaguh dunia menentang hero dunia? Siapa yang menang?

Ia merupakan edisi khas komik Superman tahun 1978 yang didedikasikan kepada Jaguh Tinju Dunia pada waktu itu iaitu Muhammad Ali.

Di dalam komik ini, ketua makhluk asing bernama Rat'Lar mengancam untuk memusnahkan Bumi melainkan jaguh Bumi dan jaguh dunia berlawan sesama sendiri. Superman merupakan jaguh planet Bumi manakala Muhammad Ali merupakan jaguh dunia.

Superman bersetuju untuk menentang Muhammad Ali bagaimanapun Muhammad Ali merasakan perlawanan ini tidak adil kerana Superman bukanlah berasal dari Bumi dan Muhammad Ali mengatakan dia tidak mampu mengalahkan Superman yang mempunyai kuasa luarbiasa.

Superman melucutkan kuasanya di Fotress of Solitude (rumah Superman di Kutub Utara) dan menghadapi Muhammad Ali. Ternyata Superman dengan kekuatan manusia biasa tidak mampu mengatasi ketangkasan Muhammad Ali. Akibatnya Superman tewas di tangan Muhammad Ali.

Bagaimanapun Muhammad Ali terpaksa pula berhadapan dengan jaguh makhluk asing iaitu Hun'Ya. Pada mulanya Muhammad Ali menghadapi kesukaran untuk mengalahkan Hun'Ya namun Muhammad Ali yang terkenal sebagai seorang peninju yang 'liat' dan sukar ditumbangkan mampu bertahan sehingga pusingan kelapan. Pada pusingan kelapan, Muhammad Ali seolah-olah mendapat kuasa luarbiasa dan memberikan tumbukan knock out kepada Hun'Ya yang menghumbannya keluar gelanggang.

Sementara itu, Superman yang telah mendapat kuasanya semula menyamar sebagai krew Muhammad Ali dan mencuri salah satu kapal angkasa makhluk asing itu. Superman merancang untuk memusnahkan armada kapal angkasa Rat'Lar di orbit Bumi. Bagaimanapun kehadiran Superman telah dapat dikesan oleh tentera-tentera Rat'Lar maka berlakulah pertempuran di ruang angkasa Bumi.

Rat'Lar memungkiri janji dan mengarahkan armadanya untuk menyerang Bumi, bagaimanapun Hun'Ya yang telah dikalahkan oleh Muhammad Ali mengarahkan tentera-tentera Rat'Lar supaya berhenti. Hun'Ya mengatakan dia telah dikalahkan oleh Muhammad Ali secara adil, sebaliknya Rat'Lar merupakan seorang pengecut dan memungkiri janji.

Kata-kata Hun'Ya itu menyebabkan pihak tentera Rat'Lar berpaling tadah dan menggulingkan Rat'Lar. Hun'Ya telah diangkat menjadi pemimpin baru mereka. Hun'Ya kemudian membuat perdamaian dengan Muhammad Ali, Superman dan penduduk Bumi.

Di dalam komik ini ditunjukkan bahawa Muhammad Ali telah mengetahui identiti sebenar Superman iaitu Clark Kent, bagaimanapun beliau berjanji untuk merahsiakannya. Beliau kemudian berkata kepada Superman, "Superman, WE are the greatest!"

Pada cover komik Superman vs Muhammad Ali ini telah dilukiskan ilustrasi Muhammad Ali berhadapan dengan Superman di dalam gelanggang sambil diperhatikan oleh ribuan penonton. Sebenarnya penonton-penonton yang terdapat di hadapan dan berhampiran gelanggang merupakan selebriti-selebriti yang telah dilukis oleh Neal Adams.

Antara selebriti-selebriti yang telah dilukis ialah Kirk Alyn (pelakon asal filem Superman tahun 40'an dan 50'an), Lucille Ball (pelawak veteran), Sonny Bono (penyanyi), Cher (penyanyi), Ron Howard (pelakon, sekarang menjadi pengarah filem), Donny dan Marie Osmond (pelakon, penyanyi dan pengacara TV), Christopher Reeve (pelakon yang membawakan watak Superman pada era 80'an), Frank Sinatra (penyanyi veteran), Jimmy Carter (Presiden Amerika Syarikat ketika itu), Pele (bintang bolasepak Brazil), Don King (promoter tinju terkenal), Neal Adams (pelukis dan kartunis), Joe Shuster dan Jerry Siegel (pencipta watak Superman), Barry Allen (watak komik DC, merupakan identiti sebenar The Flash), Batman, Hal Jordan (identiti sebenar Green Lantern), Lois Lane, Lex Luthor, Jimmy Olsen, Diana Prince (identiti sebenar Wonder Woman), Oliver Queen (identiti sebenar Green Arrow) dan Ray Palmer (identiti sebenar Atom).

Pada mulanya watak Spider-Man juga hendak dijadikan cameo untuk komik ini bagaimanapun terdapat sedikit perselisihan antara DC Comics dan Marvel Comics pada waktu itu. Ketika komik ini diterbitkan dan diedarkan, Muhammad Ali tidak lagi menjadi Jaguh Dunia apabila beliau ditewaskan oleh Leon Spinks dan ini membuatkan pihak Marvel menyindir DC dalam satu episod komik Spider-Man apabila Spider-Man ditawarkan untuk menentang Leon Spinks dan Spider-Man telah menolaknya dengan alasan "Jaguh Dunia boleh berganti".

**Imej dari www.dialbforblog.com

Sumber: www.dialbforblog.com
Posted by zulazahari Labels:

0 comments:

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger template by blog forum.