Wednesday, November 25, 2009
at
10:09 AM
|
 Daily Planet merupakan sebuah syarikat akhbar fiksyen yang terdapat dalam kisah Superman. Daily Planet juga merupakan syarikat akhbar di mana alter ego untuk Superman iaitu Clark Kent bertugas sebagai wartawan.
Ibu pejabat Daily Planet terletak di sebuah bandaraya bernama Metropolis. Daily Planet telah pun ditubuhkan seawal tahun 1775 di mana Presiden Amerika Syarikat, George Washington pernah menjadi penulis jemputan untuk akhbar tersebut.
Antara watak-watak selain Clark Kent yang bertugas di Daily Planet ialah Perry White selaku Ketua Pengarang Daily Planet, Lois Lane sebagai wartawan dan Jimmy Olsen selaku wartawan merangkap jurugambar (photojournalist).
Sebelum bertugas di Daily Planet, Clark Kent pernah bertugas di Daily Star. Nama Daily Star diilhamkan oleh pencipta watak Superman iaitu Joe Shuster sempena nama syarikat akhbar Toronto Daily Star, sebuah syarikat akhbar di mana Joe Shuster pernah bertugas. Bagaimanapun Shuster terpaksa menukar kepada Daily Planet untuk mengelakkan konflik dengan nama syarikat akhbar yang sebenar.
Bangunan pejabat Daily Planet digambarkan di dalam komik sebagai sebuah bangunan yang tinggi dengan mercu tanda glob berputar di puncaknya. Di dalam filem dan siri TV The Adventures of Superman yang diterbitkan sekitar tahun 50'an, bangunan Los Angeles City Hall telah digunakan sebagai Daily Planet. Bangunan ini juga turut digunakan untuk beberapa filem dan siri TV yang lain antaranya seperti Alias, Dragnet, Adam-12 dan filem War of the World (terbitan tahun 1953).
Di dalam siri TV Smallville, bangunan Marine Building di Vancouver, Canada digunakan sebagai bangunan Daily Planet. Di dalam Smallville, glob yang berputar di puncak bangunan diwujudkan menggunakan CGI. Bangunan ini juga turut digunakan untuk filem-filem lain seperti Timecop, Fantastic Four dan juga Fantastic Four: Rise of the Silver Surfer.
Di dalam filem Superman tahun 1978, bangunan pejabat New York Daily News telah digunakan sebagai bangunan Daily Planet. Bangunan ini turut digunakan untuk ketiga-tiga filem Superman selepas itu. Glob yang berada di dalam lobi (seperti yang ditunjukkan dalam keempat-empat filem Superman) adalah glob yang sebenar yang terdapat dalam lobi bangunan tersebut.
Di dalam filem Superman Returns arahan Bryan Singer, bangunan Empire State Building di New York telah dibentuk semula menggunakan CGI untuk menghasilkan bangunan Daily Planet.
 Bangunan Los Angeles City Hall
 Bangunan Marine Building
 Bangunan Daily Planet dalam siri TV Smallville
 Bangunan New York Daily News
 Bangunan Daily Planet dalam filem Superman Returns
Posted by
zulazahari
Labels:
Superman
Tuesday, November 24, 2009
at
10:05 AM
|
 Komik Spider-Man isu 545 yang berjudul 'One More Day' ini telah menimbulkan kontroversi apabila peminat fanatik Spider-Man tidak dapat menerima jalan cerita yang dipaparkan dalam komik ini.
One More Day mempunyai empat bahagian dan ditulis oleh J. Michael Straczynski dan Joe Quesada, dan dilukis oleh Joe Quesada.
Ia mengisahkan Aunt May (ibu angkat Peter Parker) telah ditembak, dan Spider-Man berusaha untuk menyelamatkan nyawanya. Spider-Man telah bertemu dengan Syaitan bernama Mephisto (penjahat dalam komik Ghost Rider) yang menawarkan untuk menyelamatkan Aunt May seandainya Spider-Man @ Peter Parker mengorbankan perkahwinannya. Spider-Man @ Peter berbincang dengan isterinya, Mary Jane dan mereka bersetuju, demi untuk menyelamatkan nyawa Aunt May. Akibatnya, Mephisto telah mengubah sejarah, dan Peter Parker tidak pernah mengahwini Mary Jane.
Jalan cerita tersebut telah menyebabkan peminat berang dan kecewa kerana mereka menganggap kesetiaan mereka mengikuti perkembangan Peter Parker dan Mary Jane seolah-olah dipermainkan.
Ini menyebabkan pihak Marvel terpaksa merangka jalan cerita yang baru untuk kesinambungan siri Spider-Man.
Komik One More Day diterbitkan sekitar November 2007 sehingga Januari 2008.
Sumber: Wikipedia
Posted by
zulazahari
Labels:
Spider-Man
Wednesday, October 28, 2009
at
11:28 AM
|
Ultraman merupakan watak adiwira Jepun yang diilhamkan oleh Eiji Tsuburaya sekitar tahun 60'an. Ramai yang tidak mengetahui sebenarnya Ultraman merupakan lanjutan untuk siri TV Ultra Q yang disiarkan lewat tahun 50'an dan 60'an.
Ultra Q adalah sebuah siri sains fiksyen dan seram atau dipanggil tokusatsu dalam bahasa Jepun. Konsep Ultra Q ala-ala siri The Twilight Zone yang memaparkan kisah-kisah aneh, misteri dan sains fiksyen dalam setiap episodnya. Lazimnya ia mengutarakan cerita-cerita hantu, jembalang dan juga rasaksa.
Eiji Tsuburaya kemudian mencipta watak Ultraman, khusus untuk penonton-penonton yang terdiri dari kalangan kanak-kanak dan remaja kerana siri Ultra Q dikatakan terlalu menakutkan.
Sehingga kini siri Ultraman masih ditayangkan di televisyen dengan watak-watak Ultraman yang baru diperkenalkan. Siri-siri Ultraman ini dipanggil Ultra Series. Manakala watak-watak Ultraman dipanggil Ultra Brothers.
Senarai Ultra Brothers.
1. Ultraman Hayata - Ultraman yang pertama diperkenalkan di kaca TV. Hayata merupakan 'host' ataupun 'perumah' bagi Ultraman, di mana apabila keadaan memerlukan Hayata akan bertukar menjadi Ultraman dengan menggunakan sejenis alat dipanggil Beta Capsule.
2. Ultra Seven - host ialah Dan Moroboshi.
3. Ultraman Jack - host ialah Hideki Goh.
4. Ultraman Ace - pertama kali Ultraman memerlukan dua host iaitu seorang lelaki dan perempuan. Mereka ialah Seiji Hokuto dan Yuuko Minami. Cara mereka bertukar menjadi Ultraman adalah dengan bergabung bersama. Bagaimanapun di akhir-akhir episod hanya Hokuto Seiji yang menjadi host Ultraman.
5. Ultraman Taro - host Kotaro Higashi.
6. Ultraman Leo - host Gen Ohtori
7. Ultraman 80 - host Takeshi Yamato
8. Ultraman Tiga - host Daigo Madoka
9. Ultraman Dyna - host Shin Asuka
10. Ultraman Gaia - host Takayama Gamu
11. Ultraman Agul - host Fujimiya Hiroya
12. Ultraman Neos - host Genki Kagura
13. Ultraman Cosmos - host Musashi Haruno
14. Ultraman Nexus - host Komon Kazuki
15. Ultraman Max - host Kaito Touma
16. Ultraman Mebius - host Mirai Hibino
17. Ultraseven X - host lelaki misteri yang dikenali sebagai Jin.
Seperti kelaziman, Ultraman akan menentang musuhnya yang terdiri daripada rasaksa, sama ada rasaksa itu memang berasal dari bumi ataupun makhluk asing dari planet lain yang hendak menakluki bumi. Juga menjadi kelaziman host yang bertukar menjadi Ultraman adalah manusia yang berkhidmat atau mempunyai kaitan dengan pihak berkuasa di bumi seperti angkatan tentera ataupun pasukan elit.
Selain daripada siri televisyen, Ultraman turut dikembangkan menjadi filem seperti filem Ultraman Next dan Ultraman Zearth yang mana jalan ceritanya agak berlainan dengan siri-siri TV Ultraman, bagaimanapun masih mempunyai kaitan.
Siri Ultraman turut diterbitkan oleh syarikat penerbitan antarabangsa seperti Ultraman: Toward the Future (di Jepun dikenali sebagai Ultraman Great) yang diterbitkan oleh South Australian Film Corporation dengan kerjasama Tsuburaya Production dan Ultraman: The Ultimate Hero (di Jepun dikenali sebagai Ultraman Powered) kerjasama antara syarikat perfileman Amerika Syarikat iaitu Major Havoc Entertainment (kemudian ditukar nama kepada Steppin Stone Entertainment) bersama Tsuburaya.
Ultraman turut diterbitkan oleh syarikat perfileman Thailand iaitu Chaiyo Productions bersama Tsuburaya. Filem tersebut berjudul The 6 Ultra Brothers vs the Monster Army ataupun di Thailand dikenali sebagai Hanuman and the 6 Ultramen. Ia mengisahkan 6 Ultra Brothers iaitu Ultraman Hayata, Ultraman Zoffy, Ultra Seven, Ultraman Jack, Ultraman Ace dan Ultraman Taro bergabung bersama Hanuman (dewa Hindu) menentang 5 rasaksa kejam.
Dua buah filem animasi Ultraman turut diterbitkan iaitu Ultraman Jonias dan Ultraman: The Adventure Begins yang merupakan kerjasama antara Hanna Barbera dan Tsuburaya.
Posted by
zulazahari
Labels:
Ultraman
Friday, October 16, 2009
at
10:23 AM
|
Jaguh dunia menentang hero dunia? Siapa yang menang?
Ia merupakan edisi khas komik Superman tahun 1978 yang didedikasikan kepada Jaguh Tinju Dunia pada waktu itu iaitu Muhammad Ali.
Di dalam komik ini, ketua makhluk asing bernama Rat'Lar mengancam untuk memusnahkan Bumi melainkan jaguh Bumi dan jaguh dunia berlawan sesama sendiri. Superman merupakan jaguh planet Bumi manakala Muhammad Ali merupakan jaguh dunia.
Superman bersetuju untuk menentang Muhammad Ali bagaimanapun Muhammad Ali merasakan perlawanan ini tidak adil kerana Superman bukanlah berasal dari Bumi dan Muhammad Ali mengatakan dia tidak mampu mengalahkan Superman yang mempunyai kuasa luarbiasa.
Superman melucutkan kuasanya di Fotress of Solitude (rumah Superman di Kutub Utara) dan menghadapi Muhammad Ali. Ternyata Superman dengan kekuatan manusia biasa tidak mampu mengatasi ketangkasan Muhammad Ali. Akibatnya Superman tewas di tangan Muhammad Ali.
Bagaimanapun Muhammad Ali terpaksa pula berhadapan dengan jaguh makhluk asing iaitu Hun'Ya. Pada mulanya Muhammad Ali menghadapi kesukaran untuk mengalahkan Hun'Ya namun Muhammad Ali yang terkenal sebagai seorang peninju yang 'liat' dan sukar ditumbangkan mampu bertahan sehingga pusingan kelapan. Pada pusingan kelapan, Muhammad Ali seolah-olah mendapat kuasa luarbiasa dan memberikan tumbukan knock out kepada Hun'Ya yang menghumbannya keluar gelanggang.
Sementara itu, Superman yang telah mendapat kuasanya semula menyamar sebagai krew Muhammad Ali dan mencuri salah satu kapal angkasa makhluk asing itu. Superman merancang untuk memusnahkan armada kapal angkasa Rat'Lar di orbit Bumi. Bagaimanapun kehadiran Superman telah dapat dikesan oleh tentera-tentera Rat'Lar maka berlakulah pertempuran di ruang angkasa Bumi.
Rat'Lar memungkiri janji dan mengarahkan armadanya untuk menyerang Bumi, bagaimanapun Hun'Ya yang telah dikalahkan oleh Muhammad Ali mengarahkan tentera-tentera Rat'Lar supaya berhenti. Hun'Ya mengatakan dia telah dikalahkan oleh Muhammad Ali secara adil, sebaliknya Rat'Lar merupakan seorang pengecut dan memungkiri janji.
Kata-kata Hun'Ya itu menyebabkan pihak tentera Rat'Lar berpaling tadah dan menggulingkan Rat'Lar. Hun'Ya telah diangkat menjadi pemimpin baru mereka. Hun'Ya kemudian membuat perdamaian dengan Muhammad Ali, Superman dan penduduk Bumi.
Di dalam komik ini ditunjukkan bahawa Muhammad Ali telah mengetahui identiti sebenar Superman iaitu Clark Kent, bagaimanapun beliau berjanji untuk merahsiakannya. Beliau kemudian berkata kepada Superman, "Superman, WE are the greatest!"
Pada cover komik Superman vs Muhammad Ali ini telah dilukiskan ilustrasi Muhammad Ali berhadapan dengan Superman di dalam gelanggang sambil diperhatikan oleh ribuan penonton. Sebenarnya penonton-penonton yang terdapat di hadapan dan berhampiran gelanggang merupakan selebriti-selebriti yang telah dilukis oleh Neal Adams.
Antara selebriti-selebriti yang telah dilukis ialah Kirk Alyn (pelakon asal filem Superman tahun 40'an dan 50'an), Lucille Ball (pelawak veteran), Sonny Bono (penyanyi), Cher (penyanyi), Ron Howard (pelakon, sekarang menjadi pengarah filem), Donny dan Marie Osmond (pelakon, penyanyi dan pengacara TV), Christopher Reeve (pelakon yang membawakan watak Superman pada era 80'an), Frank Sinatra (penyanyi veteran), Jimmy Carter (Presiden Amerika Syarikat ketika itu), Pele (bintang bolasepak Brazil), Don King (promoter tinju terkenal), Neal Adams (pelukis dan kartunis), Joe Shuster dan Jerry Siegel (pencipta watak Superman), Barry Allen (watak komik DC, merupakan identiti sebenar The Flash), Batman, Hal Jordan (identiti sebenar Green Lantern), Lois Lane, Lex Luthor, Jimmy Olsen, Diana Prince (identiti sebenar Wonder Woman), Oliver Queen (identiti sebenar Green Arrow) dan Ray Palmer (identiti sebenar Atom).
Pada mulanya watak Spider-Man juga hendak dijadikan cameo untuk komik ini bagaimanapun terdapat sedikit perselisihan antara DC Comics dan Marvel Comics pada waktu itu. Ketika komik ini diterbitkan dan diedarkan, Muhammad Ali tidak lagi menjadi Jaguh Dunia apabila beliau ditewaskan oleh Leon Spinks dan ini membuatkan pihak Marvel menyindir DC dalam satu episod komik Spider-Man apabila Spider-Man ditawarkan untuk menentang Leon Spinks dan Spider-Man telah menolaknya dengan alasan "Jaguh Dunia boleh berganti".
**Imej dari www.dialbforblog.com
Sumber: www.dialbforblog.com
Posted by
zulazahari
Labels:
Superman
Thursday, September 10, 2009
at
11:25 AM
|
Posted by
zulazahari
Labels:
Superman
Thursday, July 30, 2009
at
5:13 PM
|
 The Punisher bukanlah seorang superhero, sebaliknya merupakan antihero. The Punisher tidak mempunyai sebarang kuasa luarbiasa, cuma seorang bekas tentera elit yang mahir dalam seni pertempuran dan peperangan.
Nama sebenar The Punisher ialah Frank Castle. Watak The Punisher diilhamkan oleh Gerry Conway dan dilukis oleh John Romita, Sr. dan Ross Andru. Watak The Punisher mula diperkenalkan dalam komik The Amazing Spider-Man isu 129 pada bulan Februari 1974. Hakcipta The Punisher dimiliki oleh Marvel Comics.
Mengapa The Punisher dikatakan sebagai antihero? Kerana The Punisher menggunakan kaedah yang agak kejam seperti membunuh, menculik, mengugut, mengancam dan mendera untuk menjalankan kerja-kerjanya meskipun mangsa-mangsanya di kalangan penjenayah.
Frank Castle adalah bekas tentera elit yang mahir dalam seni mempertahankan diri, taktik peperangan, serangan secara gerila dan kemahiran menggunakan pelbagai jenis senjata.
Frank Castle menjadi The Punisher apabila keluarganya dibunuh oleh kumpulan kongsi gelap di New York. Dengan memakai pakaian iaitu baju T berlambang tengkorak dan berjaket hitam serta bersenjata M-16 The Punisher telah melancarkan peperangan kepada kumpulan kongsi gelap tersebut.
Kemunculan pertama The Punisher dalam komik Spider-Man ialah apabila Spider-Man didakwa membunuh Norman Osborn. Kerana moto The Punisher adalah menghapuskan penjenayah tanpa mengira siapa, maka Spider-Man telah menjadi sasaran The Punisher. Kemunculan watak The Punisher ini telah meningkatkan jualan komik tersebut dan watak The Punisher telah menjadi watak kesukaan ramai, maka komik The Punisher pun diterbitkan.
The Punisher kemudian dikembangkan menjadi filem dan setakat ini sebanyak tiga buah filem The Punisher telah dibikin. Filem pertama The Punisher diterbitkan pada tahun 1989 dan dibintangi oleh Dolph Lundgren sebagai Frank Castle/The Punisher. Di dalam filem ini digambarkan bahawa keluarga Frank Castle dibunuh oleh kumpulan Yakuza Jepun.
Sebuah lagi filem The Punisher diterbitkan pada tahun 2004. Watak Frank Castle/The Punisher dijayakan oleh Thomas Jane. Jikalau dalam filem pertama Frank Castle digambarkan sebagai bekas anggota polis, dalam filem ini dia digambarkan sebagai bekas agen FBI. Seperti komik dan filem pertama, keluarga Frank Castle tetap dibunuh oleh kumpulan kongsi gelap yang diketuai oleh Howard Saint (dijayakan oleh John Travolta). Dikhabarkan bahawa pihak produksi iaitu Lions Gate Production dan Marvel Comics bercadang untuk membuat sekuel kepada The Punisher bagaimanapun projek tersebut dibatalkan.
Pada tahun 2008 sebuah lagi filem The Punisher diterbitkan iaitu Punisher: War Zone. Filem ini bukanlah sekuel untuk filem The Punisher tahun 2004 sebaliknya merupakan reboot untuk The Punisher. Di dalam filem ini The Punisher telah melancarkan peperangan kepada kumpulan kongsi gelap yang diketuai oleh Billy Russoti. Setelah mencacatkan wajah Russoti, Russoti menjadi penjenayah bernama Jigsaw dan bercadang untuk membalas dendam terhadap The Punisher. Filem ini dibintangi oleh Ray Stevenson sebagai The Punisher dan Dominic West sebagai Billy Russoti/Jigsaw.
Posted by
zulazahari
Labels:
The Punisher
Tuesday, July 28, 2009
at
12:54 PM
|
Posted by
zulazahari
Labels:
Ben 10
|
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger template by blog forum.
|