Thursday, July 30, 2009 at 5:13 PM |  

The Punisher bukanlah seorang superhero, sebaliknya merupakan antihero. The Punisher tidak mempunyai sebarang kuasa luarbiasa, cuma seorang bekas tentera elit yang mahir dalam seni pertempuran dan peperangan.

Nama sebenar The Punisher ialah Frank Castle. Watak The Punisher diilhamkan oleh Gerry Conway dan dilukis oleh John Romita, Sr. dan Ross Andru. Watak The Punisher mula diperkenalkan dalam komik The Amazing Spider-Man isu 129 pada bulan Februari 1974. Hakcipta The Punisher dimiliki oleh Marvel Comics.

Mengapa The Punisher dikatakan sebagai antihero? Kerana The Punisher menggunakan kaedah yang agak kejam seperti membunuh, menculik, mengugut, mengancam dan mendera untuk menjalankan kerja-kerjanya meskipun mangsa-mangsanya di kalangan penjenayah.

Frank Castle adalah bekas tentera elit yang mahir dalam seni mempertahankan diri, taktik peperangan, serangan secara gerila dan kemahiran menggunakan pelbagai jenis senjata.

Frank Castle menjadi The Punisher apabila keluarganya dibunuh oleh kumpulan kongsi gelap di New York. Dengan memakai pakaian iaitu baju T berlambang tengkorak dan berjaket hitam serta bersenjata M-16 The Punisher telah melancarkan peperangan kepada kumpulan kongsi gelap tersebut.

Kemunculan pertama The Punisher dalam komik Spider-Man ialah apabila Spider-Man didakwa membunuh Norman Osborn. Kerana moto The Punisher adalah menghapuskan penjenayah tanpa mengira siapa, maka Spider-Man telah menjadi sasaran The Punisher. Kemunculan watak The Punisher ini telah meningkatkan jualan komik tersebut dan watak The Punisher telah menjadi watak kesukaan ramai, maka komik The Punisher pun diterbitkan.

The Punisher kemudian dikembangkan menjadi filem dan setakat ini sebanyak tiga buah filem The Punisher telah dibikin. Filem pertama The Punisher diterbitkan pada tahun 1989 dan dibintangi oleh Dolph Lundgren sebagai Frank Castle/The Punisher. Di dalam filem ini digambarkan bahawa keluarga Frank Castle dibunuh oleh kumpulan Yakuza Jepun.

Sebuah lagi filem The Punisher diterbitkan pada tahun 2004. Watak Frank Castle/The Punisher dijayakan oleh Thomas Jane. Jikalau dalam filem pertama Frank Castle digambarkan sebagai bekas anggota polis, dalam filem ini dia digambarkan sebagai bekas agen FBI. Seperti komik dan filem pertama, keluarga Frank Castle tetap dibunuh oleh kumpulan kongsi gelap yang diketuai oleh Howard Saint (dijayakan oleh John Travolta). Dikhabarkan bahawa pihak produksi iaitu Lions Gate Production dan Marvel Comics bercadang untuk membuat sekuel kepada The Punisher bagaimanapun projek tersebut dibatalkan.

Pada tahun 2008 sebuah lagi filem The Punisher diterbitkan iaitu Punisher: War Zone. Filem ini bukanlah sekuel untuk filem The Punisher tahun 2004 sebaliknya merupakan reboot untuk The Punisher. Di dalam filem ini The Punisher telah melancarkan peperangan kepada kumpulan kongsi gelap yang diketuai oleh Billy Russoti. Setelah mencacatkan wajah Russoti, Russoti menjadi penjenayah bernama Jigsaw dan bercadang untuk membalas dendam terhadap The Punisher. Filem ini dibintangi oleh Ray Stevenson sebagai The Punisher dan Dominic West sebagai Billy Russoti/Jigsaw.
Posted by zulazahari Labels:

1 comments:

RABUN said...

saya juga suka ngan punisher tapi sering saja gagal dipasaran..kenapa ek?

August 6, 2009 at 3:39 AM  

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger template by blog forum.